BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

18 Mei 2011

Pandangan ahli falsafah mengenai pendidikan dan perkembangan muzik

Terdapat pelbagai pandangan ahli falsafah mengenai pendidikan dan perkembangan muzik, lebih-lebih lagi oleh ahli-ahli falsafah Barat. Dalam tamadun Yunani juga mengaplikasikan muzik dalam pendidikan untuk menghasilkan individu byang berakhlak mulia. Tambah mereka, matlamat tersebut dapat dicapai melalui perkembangan jasmani, rohani, dan pemikiran para pelajar dalam latihan-latihan muzik, gimnastik dan pidato ( retorik ).

Menurut Plato pula, sahsiah seseorang individu dipengaruhi oleh seni halus seperti muzik kerana melalui muzik, individu tersebut akan berakhlak baik dan harmoni dari segi rohani dan jasmani yang selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Maka, kandungan mata pelajaran muzik baginya harus ditapis dengan rapi.

Bagi falsafah Yunani yang menyatakan muzik dapat menghasilkan moral yang baik dalam diri manusia yang dinamakan doktrin etos yang berkait rapat dengan dewa mereka Apollo, menyamai dengan pendapat Pythagoras yang menghujahkan prinsip fizik dan matematik termasuk alam cakerawala yang dapat berfungsi dengan harmoni seperti prinsip-prinsip kewujudan muzik.

Bagi Aristotle pula, muzik mempengaruhi niat manusia seperti yang dapat dijelaskan dalam bukunya, Politics. Hal ini kerana melalui pendengaran kepada muzik, sifat manusia dapat digambarkan seperti marah, sedih, gembira dan kecewa. Kesimpulannya, peribadi seseorang mampu diperbaiki atau dicemari bergantung kepada muzik yang didengar oleh seseorang individu.

Namun, ahli falsafah berbangsa Swiss, Johann Heinrich ( 1746 – 1827 ) merupakan ahli falsafah yang banyak mempengaruhi rasional dan prinsip asas dalam pendidikan muzik. Beliau berpendapat bahawa pendidikan yang baik sekali merupakan pendidikan yang diperolehi melalui pancaindera manusia di mana para pelajar harus dididik mengikut perkembangan semula jadi mereka. Tambah beliau, pembelajaran semestinya berlaku melalui penyertaan langsung dan mengesyorkan akan penambahan pendidikan muzik dalam kurikulum sekolah.

Pendapat Pestalozzi telah disokong oleh seorang lagi ahli falsafah Switzerland, Joseph H. Naef yang telah menggariskan beberapa prinsip Pestalozzi yang bertajuk ‘Principles of the Pestalozzian System of Music’, iaitu pengajaran kaedah hafalan sebelum beralih kepada kaedah catatan di mana pelajar-pelajar akan belajar menyanyi sebelum mempelajari notasi muzik. Prinsip kedua ialah kaedah penemuan sendiri di mana para pelajar akan memerhati, mendengar, meniru dan membezakan bunyian yang didengar mereka. Prinsip ketiganya pula ialah kaedah pembelajaran mengikut urutan di mana pelajar akan diajar satu aspek muzik sahaja iaitu irama, melodi dan sebagainya pada satu ketika. Prinsip keempat pula menjelaskan kaedah pembelajaran heuristik di mana teori-teori muzik hanya akan diberi selepas amalan praktikal dijalankan. Kaedah pendekatan berkonsep dalam prinsip kelima pula menerangkan bahawa pelajar akan diberi peluang mengkaji muzik dan menjalankan latihan-latihan dengan elemen muzik dengan usaha sendiri. Prinsip terakhir pula menyatakan bahawa nama-nama not dalam nyanyian dan muzik instrumental mesti diselaraskan di mana kaedah nyanyian solfa tidak digalakkan.

Lowell Mason, bapa pendidikan muzik juga banyak dipengaruhi idea-idea Pestalozzi. Beliau telah berpendapat bahawa semua pelajar boleh menyanyi dan berhak mempelajari muzik. Beliau turut percaya bahawa muzik boleh dipelajari dan dihayati semua golongan manusia melalui pendidikan dan latihan yang setimpal. Tambah beliau, muzik mampu membawa banyak kebaikan kepada individu di mana individu mampu menyedari keesaan Tuhan dengan lebih mudah, dapat merasai dan mendapat ketenangan jiwa di tahap yang tinggi dan menjadi warganegara yang gembira dan harmoni.

0 comments: